Pembuka Rezeki Berganda-ganda Dengan Kuasa Sabar

Pembuka Rezeki

Siapa yang suka dengan label ‘miskin’? Label itu tergantung di wajah apabila pakaian mu selekeh, lusuh dan tidak menarik. Label itu juga terlekat di badan apabila anggota tubuh mu tidak dihiasi dengan barang kemas. Malah, label ‘miskin’ diucapkan pada mu apabila engkau hanya sebatang kara, tiada harta. Jadi, apakah dia amalan untuk pembuka rezeki?

Malu tatkala dilabel sebagai miskin. Orang miskin itu hina, tak ada ‘ong’, malas berusaha. Kasihan… Mungkin begitu kata si poket tebal. Maka orang miskin itu mula berasa dirinya malang. Malu sungguh! Orang lain makan Nando’s, dia makan nasi kicap. Orang lain pakai baju jenama John Master, dia pakai cap ayam.

Sebenarnya itulah hakikat. Kita malu jika kita miskin, tiada harta, tidak bergaya. Ia juga lumrah bagi manusia yang normal. Tetapi, apa salahnya kita menjadi sedikit tidak normal apabila berasa bangga dipandang rendah si kaya. Malah, berterima kasih kepada mereka kerana hinaan mereka itu menambah saham kita di akhirat. Ini juga adalah salah satu pembuka rezeki untuk kita.

Saya masih ingat bagaimana saya menggunakan kuasa sabar untuk bertarung dengan malu. Ketika itu saya baru sahaja menamatkan pengajian ijazah. Walau bergelar graduan, itu tidak memungkinkan saya untuk terus mendapat pekerjaan bergaji besar. Fasa penganggur yang harus saya lalui, saya biarkan cuma seketika saja.

pembuka rezeki

Pembuka Rezeki

Tidak mahu terus bergantung dengan mak ayah bagi menyara kehidupan, saya bekerja di sebuah restoran makanan segera. Restoran itu terletak kira-kira dua kilometer dari rumah. Oleh sebab tiada kenderaan melainkan sebuah basikal milik adik, saya ‘rembat’ sahaja basikal warna merah itu sebagai pengangkutan untuk berulang-alik ke restoran tersebut.

Basikal itu saya ikat dengan rantai pengunci di sebatang tiang elektrik, betul-betul di hadapan restoran tempat saya bekerja. Maka, semua pekerja-pekerja di situ tahulah bahawa saya datang kerja dengan basikal. Ada yang ketawa saat memandang dari dalam restoran saat saya sedang mengunci basikal.

Ada juga yang memperli dan menghina saya. Rakan sekerja yang paling rapat pernah bertanya kepada saya, apakah saya tidak berasa malu sebagai gadis yang telah dewasa, menaiki basikal kecil ke tempat kerja? Malah, ia seakan ‘jatuh standard’. Saya menjawab, “Aku tak rasa apa-apa. Biarlah, janji sampai sudahlah,”

Suatu hari, seorang jiran datang menegur saya. Ketika itu saya sedang mengayuh basikal. Seperti biasa, untuk ke tempat kerja. Saya berhenti kerana dia seakannya mahu berbicara sesuatu kepada saya. Katanya, “kau tu bekas pelajar universiti. Tetapi akhirnya bekerja di restoran saja. Malah, naik basikal pula tu. Tak malu kah?”

Saya senyum sahaja walau terasa ada sedikit genangan air mata. Berbulan-bulan, malu itu terus menguji saya.

Selepas saya berhenti kerja dari restoran tersebut, saya cuba pula menempuh ujian malu tahap yang lebih tinggi. Saya memilih untuk menyandang gelaran ‘Minah Kilang’. Waktu itu saya masih belum lagi mendapat tawaran kerja dari mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta. Walau mungkin dihina lagi, saya tetap bulatkan pendirian. Walau bagaimanapun saya tetap sabar kerana saya yakin pembuka rezeki itu adalah dengan adanya kuasa sabar.

Bekerja di sebuah kilang membuat barangan komputer tidaklah susah mana. Hanya memeriksa jika ada kerosakan kecil pada barangan tersebut. Maka, baru saya mengerti, kerja kilang bukanlah kerja yang terlalu berat seperti dicanang orang. Namun, mungkin saya bernasib baik kerana cara bekerjanya begitu.

Tetapi secara jujur, saya suka bekerja di kilang milik orang Jepun itu. Kilangnya bersih dan cantik. Kemas dan tersusun. Setiap pagi sebelum melepasi pintu masuk ke kilang, semua pekerja perlu membasuh tangan dengan sabun dahulu. Kemudian, akan ada sesi senaman regangan untuk 10 minit sebelum memulakan kerja.

Terdapat dua sesi kerja. Iaitu syif siang dan malam. Syif siang pada pukul tujuh pagi hingga tujuh malam. Manakala syif malam dari pukul tujuh malam ke tujuh pagi. Saya perlu menunggu bas kilang dua jam awal. Maka jika syif pagi, pukul lima pagi saya sudah berada di tepi jalan. Kadang-kadang saya dikejar anjing yang berkeliaran secara berkumpulan.

Ramai rakan dan jiran yang memandang rendah diri saya ketika itu. Ada yang beranggapan saya mendapat keputusan teruk di universiti apabila bekerja sebagai pelayan restoran dan pekerja kilang. Kadangkala saya sedih juga namun mak selalu berkata, “Sabar. Sebelum senang perlu ada susah. Tak perlu malu dengan manusia,”. Namun, saya yakin dan saya perlu sabar kerana saya percaya pembuka rezeki adalah dengan bersikap sabar.

Alhamdulillah pembuka rezeki berganda-ganda selepas itu dengan adanya kuasa sabar. Dan kini, saya sedang bekerja di ibu kota. Bekerja sebagai seorang yang bergaji tiga kali ganda daripada dulu. Saya juga sudah mampu memandu sebuah kereta. Manakala rakan-rakan dan jiran yang memandang rendah terhadap saya dulu masih lagi di takuk lama. Menjadi kerani, menaiki motosikal yang dibangga-banggakan.

Walau saya tidaklah menjadi kaya, namun kesederhanaan ini telah membuka mata mereka. Saya bangga dan bersyukur kerana tidak tergolong di kalangan manusia sombong, riak dan suka memandang rendah kepada orang miskin.

KUASA SABAR sebenarnya pembuka rezeki berganda-ganda kepada saya, tanpa disangka-sangka.

Pembuka Rezeki

 

Anda juga boleh membaca artikel sebelum ini iaitu Kuasa Sabar Orang Yang Sabar.

 

940 total views, 3 views today


Share Button

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>